Bagi anda yang setia mengikuti perkembangan peserta-peserta di Projek Evolusi di www.eztakaful.com.my anda pastinya sedia maklum bahawa mereka kini sudah pun menyempurnakan 3 daripada 6 minggu dalam kembara mereka untuk menurunkan berat badan. Dalam tempoh tersebut, mereka bukan sahaja mengamalkan rutin pemakanan sihat seperti yang disyorkan oleh pakar pemakanan Herbalife tetapi juga diajar pelbagai jenis senaman ringkas, khusus untuk mempercepatkan proses penurunan berat badan oleh Jurulatih Malique. Setelah meluangkan 3 minggu bersama peserta-peserta Projek Evolusi, mari kita lihat pendapat Jurulatih Malique mengenai setiap peserta.
Peserta-Peserta Perempuan
Ain Sebli
“Saya lihat dia agak nakal dan suka main-main, tetapi dia jenis yang pantang dicabar atau dalam erti kata lain, berdaya saing. Kualiti yang bagus kerana dia akan sedaya upaya membuktikan kepada pesaingnya bahawa dia juga mampu melakukannya. ”
Wan Masyitah
“Bagi saya, Wan mempunyai motivasi diri yang sangat tinggi. Saya juga lihat dia amat bersungguh-sungguh untuk menurunkan berat badan atas sesuatu sebab -saya kurang pasti apa sebabnya kerana dia agak pendiam dan tidak banyak berkongsi tentang dirinya – tetapi saya dapat lihat bagaimana kecewanya dia apabila dia hanya turun 0.5kg dalam minggu ke 3.”
Nicolle Sabastian
“Diam-diam ubi berisi. Itu yang dapat saya saksikan menerusi Nicolle. Dia tidak banyak bercakap tetapi mampu melakukan semua senaman yang diajar dengan betul malahan mampu memenangi Cabaran Minggu 3 iaitu Plank dengan bertahan lebih lama dari peserta lelaki! Sangat berdisiplin dan saya yakin dia mampu meneruskan program ini sendiri setelah tamatnya Projek Evolusi”
Peserta-Peserta Lelaki
Areed Razman
“Seperti Wan, Areed sangat bersemangat dan tidak jemu menanyakan soalan mengenai apa jua topik berkaitan penurunan berat badan. Dia juga sangat berdisiplin dalam menu pemakanannya dan saya kagum melihatnya membawa botol air yang besar setiap kali dia datang untuk sesi senaman demi untuk mencukupkan 7 liter yang diperlukan setiap hari!”
Jeffri Jaba
“Jeff juga seperti Areed, berdisiplin tinggi dan sangat rajin berusaha. Buktinya, setakat ini dia telah memenangi 2 daripada 3 cabaran mingguan dan merupakan peserta yang paling banyak menurunkan berat badan! Dari apa yang kami bualkan, Jeff tak sabar untuk melihat dirinya menjadi seseorang dengan bentuk badan yang lebih “fit”!
Hairi Abu Kassim
“Berbanding peserta yang lain, dia mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menurunkan paling banyak berat badan kerana dia sudah biasa bersenam namun ada kalanya dia memandang ringan tentang sesi senaman dan pemakanan, contohnya di minggu ke 2, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan di atas penimbang berat. Tetapi dia cepat belajar dari kesilapan dan pada minggu ke 3 dia mampu menurunkan lebih daripada 2 kg!
Bagi Jurulatih Malique, secara keseluruhan, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tetapi apa yang mengagumkannya adalah semangat mereka dan bagaimana mereka mengusik dan mencabar antara satu sama lain untuk memberi dorongan sesama sendiri untuk menurunkan berat badan.
Tetapi apabila ditanya siapa di antara peserta tersebut yang bakal memenangi Projek Evolusi, dia hanya mampu tergelak besar dan berkata “No Comment! Kerana saya yakin kesemua mereka mempunyai peluang sama rata untuk menang!”
Itu pendapat Jurulatih Malique. Anda pula bagaimana? Apa kata anda tonton aksi peserta kegemaran di www.eztakaful.com.my dan jangan lupa mengundi mereka sebagai Pemenang Cabaran Mingguan atau Juara Keseluruhan di samping peluang untuk anda memenangi hadiah-hadiah tunai!