Pemalu dan suka menyendiri…
Mungkin itu tanggapan yang orang ramai akan lemparkan apabila berjumpa Wan Masyitah buat pertama kali. Saya pun tidak terkecuali, malahan saya dapat merasakan ketidakselesaannya apabila bercakap dan berada di kalangan orang ramai – sesekali ternampak dia menggenggam telapak tangannya dengan kuat dan terdapat sedikit kerutan di wajahnya apabila diajak berbicara.
Namun, kerutan di wajahnya beransur hilang dan terukir sedikit senyuman menampakkan lesung pipit manis di sudut bibirnya, apabila saya cuba bergurau dengannya. Wanita berusia 33 tahun berasal dari Pahang ini merupakan suri rumah sepenuh masa dan mempunyai seorang anak yang kini berusia 5 tahun. Telah menetap di Kuala Lumpur sejak berusia 18 tahun, amat meminati bidang puisi, sajak dan cerpen dan mempunyai koleksi puisi dan sajak ciptaannya sendiri sejak di usia remaja lagi. “Orang berjiwa halus lah ni ya?” Gurau saya lagi dan di sambut dengan ketawa kecil dari Wan dan dibalas “memang, jiwa saya memang sensitif. Mungkin saya nampak sombong tapi saya suka tersenyum, hatta di mana-mana saya akan senyum kepada sesiapa saja tetapi yang sedihnya orang selalu bagi pandangan seolah-olah saya ni orang yang pelik.”
Perkara yang paling gembira dan tidak dapat dilupakan oleh Wan adalah pengalaman pertama kali menyambut kelahiran anaknya pada 24hb Oktober 2011 yang kebetulan juga jatuh pada hari ulangtahun kelahiran Sultan Pahang. “Rasa bangga jugak lah dia berkongsi tarikh dengan Sultan Pahang, tiap tahun kalau hari jadi anak saya, semua rakyat Pahang pun bercuti!” selorohnya.
Dengan berat 100kg yang meningkat sebaik saja melahirkan anak pertamanya, dia berazam hendak menurunkan berat badan bukan sahaja untuk mendapatkan kembali bentuk badan sebelum kelahiran, tetapi juga untuk kesihatan yang lebih baik. Sebagai seorang suri rumah, banyak tenaga yang diperlukan untuk menguruskan anak, suami dan hal-hal rumahtangga dan berat badan kini selalu membuatkannya penat dan mengah – sebab utama dia menyertai Projek Evolusi anjuran EZTakaful dengan kerjasama Herbalife.
Anda sudah pun mengetahui sedikit sebanyak mengenai Wan Masyitah, apa kata anda saksikan pula aksi Wan Masyitah di kembara 6-minggunya untuk menurunkan berat badan di www.eztakaful.com.my. Adakah Wan Masyitah juga peserta kegemaran anda? Jika ya, jangan lupa mengundi untuk Wan Masyitah dan anda berpeluang memenangi hadiah hadiah tunai!